Kenapa Anda Tidak Patut Menggunakan Istilah Pinjaman Peribadi Dalam Industi Perbankan Islam ?

Posted: December 30th, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 7 Comments »

Dalam beberapa post berkaitan perancangan kewangan, saya selalu mengingatkan, simpanan adalah simpanan. Pelaburan adalah pelaburan. Perlindungan adalah perlindungan. Ia penting kerana apabila anda tersilap guna produk perlindungan sebagai plan simpanan, maka bencana bakal menanti anda.

Begitu juga, saya ada mengingatkan, produk pelaburan juga berbeza. Ada produk pelaburan bersifat capital gain dan ada produk pelaburan bersifat cashflow. Sama tetapi tidak serupa.

Dalam saya meneliti perbualan orang ramai, baik dalam dunia nyata dan dunia maya, ramai masih tidak faham kunci perbezaan produk perbankan Islam dan produk perbankan riba’. Macam-macam salah faham yang muncul. Sehingga ia membolehkan along untuk menipu orang awam dalam iklan-iklan mereka yang menyebut:

Pinjaman Islamik. Akad serendah 0.49%

Saya cuma ingin fokus dalam  satu produk yang popular … “pinjaman” peribadi secara Islam.

Pinjaman dalam bahasa Inggeris adalah loan. Manakala dalam bahasa Arab adalah qard. Sebarang tambahan ke atas Qard adalah riba’ qard.

Tetapi perbankan Islam menawarkan pembiayaan. Pembiayaan ini dihasilkan menerusi beberapa kaedah jual beli yang dibenarkan Shariah antaranya seperti Bai’ Inah, Tawarruq dan Bai’ Salam. Kaedah jual beli ini menghasilkan hutang. Hutang dalan bahasa Inggeris adalah debt. Manakala dalam bahasa Arab adalah dayn. Walaupun jual beli ini sah, tetapi sebarang penambahan selepas harga jual beli disepakati, maka ia adalah riba’ jahiliyyah.

Apabila anda memohon pembiayaan peribadi secara Islam, maka anda sebenarnya terlibat dalam urusniaga jual beli. Bergantung kepada bank, ada yang menggunakan Bai’ Inah, dan ada yang menggunakan Tawarruq. Dalam proses jual beli ini, anda mendapat tunai hasil penjualan aset, dan anda juga sebenarnya telah bersetuju untuk membayar kepada Bank secara tangguh, aset / komoditi yang telah anda beli itu tadi. Sudah tentu proses jual beli ini wajib mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Perenggan di atas inilah, yang adakalanya tidak difahami oleh ramai orang. Boleh jadi sebab pegawai-pegawai pembiayaan pun sebenarnya tidak faham, juga boleh jadi disebabkan pengguna mengambil mudah dalam urusan sebegini.

Saya tidak mahu lah komen lebih tentang perbahasan hukum yang telah banyak berlaku dalam bab ini. Ia sudah dibahaskan sejak zaman Sahabat lagi.

Itu sahaja lah yang saya mahu tekankan sekali lagi. Perbankan Islam tidak memberi pinjaman, tetapi menawarkan pembiayaan berteraskan kontrak-kontrak jual beli yang menghasilkan hutang. Jadi untung yang dibuat oleh perbankan Islam, bukanlah dari pinjaman, tetapi adalah dari bisnes.

Sudah tentu kedua kesannya sama, iaitu hutang. Pinjaman riba menghasilkan hutang (debt created by usury loan). Kaedah jual beli ini juga menghasilkan hutang (debt created by trade). Dulu, pada zaman Nabi saw, kekeliruan ini juga telah muncul, maka turunlah firman Allah yang menyebut:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba …

Sekarang, Nabi saw sudah tidak ada untuk menerangkan kepada kita. Berapa ramai pula diberikan peluang dan masa untuk membaca pelbagai perbahasan dalam bab ini dari zaman Imam 4 mazhab sampai lah ke zaman ini? Maka sebagai salah seorang yang sudah mendapat peluang mengkaji bab ini, saya hanya menyampaikan kepada anda semua.

Semoga tuan puan tidak bosan apabila saya mengulang-ulang bab perbankan dan kewangan Islam dan riba’ ini dari masa ke masa.

Share
7 Comments »

Tags: , , , , , , , , ,

Kad Kredit dari Perbankan Islam

Posted: October 17th, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Kad Kredit, Muamalat, Perancangan Kewangan | 6 Comments »

Selain isu kad debit, ada juga daripada kalian bertanyakan tentang kad kredit yang patuh Shariah. Berikut adalah senarai bank dan kontrak shariah yang digunakan dalam kad kredit yang dikeluarkan oleh Perbankan Islam.

1. Bank Islam, berasaskan kontrak Tawarruq.
2. AmIslamic Bank, berasaskan kontrak Bai Inah.
3. Bank Rakyat, berasaskan kontrak Tawarruq.
4. BSN, berasaskan kontrak Bai Inah.
5. Maybank Islamic, kontrak Bai Inah.
6. CIMB Islamic, kontrak Ujrah.
7. HSBC Amanah, kontrak Ujrah.

Setakat artikel ini ditulis, ini sahaja kad kredit yang dikeluarkan oleh institusi perbankan Islam yang saya tahu.

Walaupun kad kredit sebegini disahkan sebagai patuh Shariah, tetapi disiplin dalam menggunakan kad ini adalah masih sama seperti anda menggunakan kad kredit konvensional.

Berhutang itu pada asalnya harus. Apa yang perlu diperhalusi adalah, sama ada proses keberhutangan kita itu berlandaskan riba atau tidak. Sekiranya proses keberhutangan itu mengikut panduan Islam, maka ia dibenarkan. Harus diingat, hutang yang halal juga wajib dibayar.

Share
6 Comments »

Tags: , , , , , , ,