Posted: March 20th, 2010 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat, Pelaburan, Perancangan Kewangan, Perniagaan | 1 Comment »
Ada orang yang penting untung, dapat banyak duit. Cara apa mereka dapat duit, mereka tidak peduli. Skim cepat kaya ke, menipu ke, rasuah ke, riba ke. Hentam semua.
Ada orang pula, yang penting ada ‘cop halal’. Walaupun model bisnesnya tidak bagus, berat sebelah kepada satu pihak sahaja, tidak cost effective. Maka, dia pun rela menjadi “the losing side” asalkan halal.
Karipap yang dijual oleh Mak Minah dijamin halal, tetapi kalau anda mahu minum teh dengan kuih koci, perlu ke anda membeli karipap tersebut hanya disebabkan karipap tersebut halal?
Sedangkan dalam bisnes dan pelaburan, untung adalah sangat penting. Orang tidak melabur dan buat bisnes untuk jadi rugi. Sebagai seorang Muslim juga, isu halal juga adalah sangat penting. Darah daging yang dibina dari sumber haram mesti dielakkan.
Jadi, anda mesti pandai ilmu bisnes dan pelaburan untuk elakkan kena tipu dan mendapatkan yang terbaik. Pada masa yang sama, anda juga mesti tahu juga isu halal haram dalam bisnes dan pelaburan. Barulah anda mendapat rezeki yang banyak pada masa yang sama mendapat keberkatan.
Share
1 Comment »
Tags: halal haram dalam makanan, halal haram dalam pelaburan, halal haram dalam perniagaan, hotel halal, kopitiam halal
Posted: January 27th, 2010 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 8 Comments »
Selaku pelanggan dan bakal pelanggan, anda berhak mendapat yang terbaik dan menyuarakan komplen. Walaupun produk perbankan Islam sudah disahkan patuh Shariah oleh Majlis Pengawasan Shariah, tetapi dari sudut operasi, masih boleh berlaku perkara salah patuh Shariah. Maka bila hal tersebut berlaku, anda mesti bertindak dan menggunakan kuasa dan hak sebagai pelanggan.
Cumanya anda mesti tahu apakah yang anda komplen itu valid dan mempunyai asas Shariah.
Kalau anda mahu komplen ‘mahal’, maka itu antara komplen yang tidak valid. Sebab Islam tidak pernah menghalang peniaga dari mengambil keuntungan seberapa banyak yang dia rasakan dia mahu ambil.
Tetapi komplen seperti, “Apakah barang yang bank jual? Pegawai bank tak bagitahu pun…” Maka, itu adalah komplen yang valid sebab dalam Islam kita mesti tahu barang yang dijual dan dibeli.
Malah, sekiranya perbankan Islam menawarkan pembiayaan berasaskan jual beli (bai’) dan sewa (ijarah) itu pun mempunyai perbezaan yang besar. Apabila berlaku jual beli, maka hak milik bertukar, risiko bertukar dan hutang tercipta. Tetapi sekiranya hanya sewa, maka hak milik tidak bertukar, risiko tidak bertukar dan hutang tidak terus tercipta melainkan apabila kita lambat bayar sewa dari tarikh yang ditetapkan.
Maka, operasi produk jual beli dan produk sewa sepatutnya ada perbezaan yang ketara. Kita sebagai pengguna mesti tahu perbezaan asas sebegini, supaya kita tahu hak dan tanggungjawab kita tertulis seperti yang sepatutnya dalam perjanjian yang bakal kita tandatangan.
Pada saya, perbankan Islam sudah tidak patut lagi menumpukan kepada produk yang patuh Shariah sahaja, tetapi dari sudut operasi juga mesti patuh Shariah. Tidak boleh tidak. Mesti ikut prosedur Shariah yang ditetapkan.
Jadi, pegawai yang terlibat dalam marketing misalnya, tidak boleh lagi sebut “interest… interest… interest” semasa bercakap dengan pelanggan. Kalau kita minta pembiayaan secara Islam, mereka tidak boleh sesuka hati bagi kita produk riba dengan alasan, “Dua-dua sama aje. Kita tukar label aje.”
Maka sekiranya anda tidak puas hati dengan perjalanan perbankan Islam, maka saya cadangkan begini:
Langkah 1
Mintak penjelasan yang lebih dari pegawai tersebut. Tetapi jika dia masih dengan sikap acuh tak acuh dengan isu Shariah …
Langkah 2
Jumpa bos kepada pegawai tersebut. Mintak penjelasan dari bos dia pula. Tetapi kalau bos dia pun 2×5 ….
Langkah 3
Sila hubungi Jabatan Shariah untuk penjelasan. Kalau kes kompleks, mereka boleh minta Penasihat Shariah bank mereka jawab. Kalau Jabatan Shariah pun macam tak tau apa-apa …
Langkah 4
Hubungi Bank Negara Malaysia (BNM), bahagian aduan pengguna. Cakaplah apa masalah Shariah yang berlaku. Bahagian tu patut salurkan kepada bahagian yang patut. Kalau BNM pun blurr…
Langkah 5
Bawa court ajelah. Majlis Pengawasan Shariah BNM sudah ada power yang sama dengan Mahkamah Tinggi Malaya.
Jangan Takut Membuat Laporan ke Pihak Yang Betul
Sepatutnya, langkah 3 iaitu dengan membuat laporan kepada Jabatan Shariah sudah mencukupi. Semua produk perbankan Islam telah mendapatkan kelulusan Majlis Pengawasan Shariah mengikut institusi masing-masing. Pegawai Shariah dalam bank sepatutnya tahu perjalanan produk yang bank mereka tawarkan. Kalau pegawai Shariah pun tidak boleh menerangkan proses Bai’ Inah, ijarah contohnya, maka bank itu sudah dalam masalah besar.
Kepada anda yang menyokong industri ini, bantulah dengan cara yang membina. Zaman “yang penting struktur produk mesti halal” sudah berlalu sebab ada pegawai dalam perbankan Islam yang take for granted dalam hal sebegini. Selain struktur produk mesti halal, cara proses dan cara operasi produk juga mesti halal sepenuhnya. Pelanggan, dengan cara yang betul, boleh menyedarkan banyak pihak agar proses dari A-Z adalah betul-betul halal.
Sekian dimaklumkan.
p.s. Kalau produk yang anda tidak puas hati itu dari Bank ABC, anda kenalah jumpa pegawai Shariah Bank ABC, jangan pula bertanya kepada pegawai Shariah Bank 123.
Share
8 Comments »
Tags: isu perbankan islam
Posted: December 30th, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 7 Comments »
Dalam beberapa post berkaitan perancangan kewangan, saya selalu mengingatkan, simpanan adalah simpanan. Pelaburan adalah pelaburan. Perlindungan adalah perlindungan. Ia penting kerana apabila anda tersilap guna produk perlindungan sebagai plan simpanan, maka bencana bakal menanti anda.
Begitu juga, saya ada mengingatkan, produk pelaburan juga berbeza. Ada produk pelaburan bersifat capital gain dan ada produk pelaburan bersifat cashflow. Sama tetapi tidak serupa.
Dalam saya meneliti perbualan orang ramai, baik dalam dunia nyata dan dunia maya, ramai masih tidak faham kunci perbezaan produk perbankan Islam dan produk perbankan riba’. Macam-macam salah faham yang muncul. Sehingga ia membolehkan along untuk menipu orang awam dalam iklan-iklan mereka yang menyebut:
Pinjaman Islamik. Akad serendah 0.49%
Saya cuma ingin fokus dalam satu produk yang popular … “pinjaman” peribadi secara Islam.
Pinjaman dalam bahasa Inggeris adalah loan. Manakala dalam bahasa Arab adalah qard. Sebarang tambahan ke atas Qard adalah riba’ qard.
Tetapi perbankan Islam menawarkan pembiayaan. Pembiayaan ini dihasilkan menerusi beberapa kaedah jual beli yang dibenarkan Shariah antaranya seperti Bai’ Inah, Tawarruq dan Bai’ Salam. Kaedah jual beli ini menghasilkan hutang. Hutang dalan bahasa Inggeris adalah debt. Manakala dalam bahasa Arab adalah dayn. Walaupun jual beli ini sah, tetapi sebarang penambahan selepas harga jual beli disepakati, maka ia adalah riba’ jahiliyyah.
Apabila anda memohon pembiayaan peribadi secara Islam, maka anda sebenarnya terlibat dalam urusniaga jual beli. Bergantung kepada bank, ada yang menggunakan Bai’ Inah, dan ada yang menggunakan Tawarruq. Dalam proses jual beli ini, anda mendapat tunai hasil penjualan aset, dan anda juga sebenarnya telah bersetuju untuk membayar kepada Bank secara tangguh, aset / komoditi yang telah anda beli itu tadi. Sudah tentu proses jual beli ini wajib mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Perenggan di atas inilah, yang adakalanya tidak difahami oleh ramai orang. Boleh jadi sebab pegawai-pegawai pembiayaan pun sebenarnya tidak faham, juga boleh jadi disebabkan pengguna mengambil mudah dalam urusan sebegini.
Saya tidak mahu lah komen lebih tentang perbahasan hukum yang telah banyak berlaku dalam bab ini. Ia sudah dibahaskan sejak zaman Sahabat lagi.
Itu sahaja lah yang saya mahu tekankan sekali lagi. Perbankan Islam tidak memberi pinjaman, tetapi menawarkan pembiayaan berteraskan kontrak-kontrak jual beli yang menghasilkan hutang. Jadi untung yang dibuat oleh perbankan Islam, bukanlah dari pinjaman, tetapi adalah dari bisnes.
Sudah tentu kedua kesannya sama, iaitu hutang. Pinjaman riba menghasilkan hutang (debt created by usury loan). Kaedah jual beli ini juga menghasilkan hutang (debt created by trade). Dulu, pada zaman Nabi saw, kekeliruan ini juga telah muncul, maka turunlah firman Allah yang menyebut:
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba …
Sekarang, Nabi saw sudah tidak ada untuk menerangkan kepada kita. Berapa ramai pula diberikan peluang dan masa untuk membaca pelbagai perbahasan dalam bab ini dari zaman Imam 4 mazhab sampai lah ke zaman ini? Maka sebagai salah seorang yang sudah mendapat peluang mengkaji bab ini, saya hanya menyampaikan kepada anda semua.
Semoga tuan puan tidak bosan apabila saya mengulang-ulang bab perbankan dan kewangan Islam dan riba’ ini dari masa ke masa.
Share
7 Comments »
Tags: bai inah, bai salam, islamic financing, islamic loan, pembiayaan peribadi-i, pinjaman di bank islam, pinjaman peribadi halal, pinjaman peribadi-i, pinjaman secara islam, tawarruq
Posted: December 29th, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 1 Comment »
Komen dari seorang pembaca yang budiman, dalam topik Kenapa Orang Marah Kepada Perbankan Islam, nicknya Kunang-Kunang.
Salam
Mungkin pakdi boleh jelaskan tentang masalah regulatory di Malaysia. Kita masih mengamalkan dual sistem. Salah seorang speaker dalam conference yg saya hadiri baru2 ini memang dgn tegas mengatakan selagi ada sistem conventional, sukar utk kita menawarkan price yang lebih kompetitif kerana masalah spt cost of fund dsbnya. So, ‘product innovativeness’ adalah sangat perlu dan saya nampak perkembangan ke arah itu, wpun agak slow – mungkin disebabkan isu2 shariah yg perlu diperhalusi terlebih dahulu.
Betul. Ada masalah perundangan. Saya sudah sebut dalam post ini. Tapi nak bercerita secara teknikal nya di blog ni macam susah untuk difahami oleh orang awam.
Perbankan Islam di Malaysia ini adalah perbankan Islam yang dikongkong dalam kerangka sistem riba’
Semoga permasalahan ini diketahui oleh pihak yang berada di Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Peguam Negara yang menderaf undang-undang, Kementerian Kewangan dan juga SEMUA ahli Parlimen BN dan PR yang beragama Islam dan MP yang bencikan riba. Sudah-sudah la tu MP-MP Muslim ini melayan karenah politik Anwar Ibrahim dan Mahathir tu, pergi la ubah undang-undang tu apa yang patut.
Saya sgt tersentuh bila seorang lagi speaker menyatakan bahawa ayat tentang pengharaman riba (Al Baqarah 2:275) itu sebenarnya diturunkan 80 hari sebelum Rasulullah s.a.w wafat. Ini menunjukkan bahawa utk memartabatkan sistem kewangan Islam adalah satu “struggle” yang memerlukan komitmen dan memakan waktu yg sangat panjang.
Betul. Ada fasa pembangunan yang tersendiri. Keperluan melatih banker yang faham asas Shariah. Seterusnya memberi kefahaman kepada pengguna runcit. Juga memberi kefahaman kepada pengguna korporat. Malah, orang bisnes juga perlu faham kerana ada kontrak muamalat yang sangat cantik aplikasinya sekiranya pengeluar kereta misalnya, bekerja sama dengan institusi perbankan Islam dalam proses menjual kereta mereka. Yang paling utama, pemimpin politik dan kepimpinan negara yang mahukan Islam. Saya juga ada komen di post ini.
Saya juga berpeluang berkongsi fikiran dgn seorang pengurus di sebuah bank asing terkemuka di Malaysia dan beliau adalah non muslim. Beliau sendiri menyatakan bahawa perbankan Islam boleh menggantikan perbankan konvensional tetapi tidak sebaliknya. Ini kerana, result memang sama tetapi dari segi process dan method, adalah sangat berbeza. Cthnya anda masak ayam kari. Hasilnya tetap ayam kari. tetapi cara kita memproses ayam dan bahan2 lain yang kita gunakan utk memasak menjadikan satu halal dan satu tidak. Tapi, untuk ini menjadi satu realiti, sekali lagi memerlukan jihad dari semua pihak, baik dari sudut politik, sosial dan umat islam sendiri.
Betul. Tapi bagi kebanyakan orang, yang penting “kari”. Ini memerlukan proses pendidikan yang berterusan.
Byk lagi perkara yang boleh dibahaskan. Satu perkara yang saya lihat kritikal bagi para pengamal perbankan Islam ialah – anda mesti melihat kepentingan HRD dari segi meningkatkan kemahiran dan pemahaman staff itu sendiri. Pekerja sebagai org yang akan deliver kepada customer perlu terlebih dahulu faham apa yang dimaksudkan dgn perbankan Islan serta ‘ruh’ yang di bawa. It’s actually the whole system dan yang penting semua bermula dari seorg ‘leader’ yang betul2 kuat dan cabarannya juga leader tersebut perlu mempunyai gabungan shariah+pemasaran+business supaya perspektifnya ‘market oriented’ yet Shariah compliant. Sesungguhnya cabaran perbankan Islam sekarang lebih hebat kerana org melihat beyond the religious issue. Tetapi untuk menjadi orang yang betul2 hebat, itulah cabaran2 yang perlu dihadapi. Wallahu a’lam.
Ya. CEO sesebuah perbankan Islam itu sendiri perlu ada kefahaman yang tepat mengenai perbankan Islam. Maka dari situlah budaya sesebuah institusi kewangan Islam itu akan dibentuk dengan baik, seterusnya membolehkan staff bawahan menerangkan produk kewangan Islam dengan lebih tepat.
Share
1 Comment »
Tags: bank islam, islamic bank mahal, perbankan Islam
Posted: December 23rd, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Insurans, Muamalat, Perancangan Kewangan | 17 Comments »
Secara umumnya saya berpendapat, istilah insurans itu sendiri bukan lah faktor pengharaman insurans. Sebab tiada ayat Quran dan Hadis yang mengharamkan insurans, seperti pengharaman riba’, makan daging babi, arak dan seterusnya. Malah, konsep perlindungan al-Aqilah itu sendiri diterima oleh Nabi Muhammad saw. Apa yang menjadi antara faktor utama adalah bagaimana duit premium yang diterima oleh syarikat insurans dari pelanggan mereka diuruskan.
Saya sudah bulatkan warna merah dalam diagram di bawah, menunjukkan area kritikal yang perlu difahami untuk mereka yang masih mengganggap insurans yang ditawarkan di pasaran sama sahaja baik namanya insurans atau takaful. Sila rujuk artikel di sini. (Diagram ini saya ambil di internet, tetapi sudah terlupa mana sumbernya)

1. Katakan syarikat insurans menerima RM 50 juta premium setahun, di mana kah mereka menyimpan duit tersebut ?
- Sekiranya mereka menyimpan dalam instrumen kewangan jangka pendek yang berteraskan riba’, sudah tentu ia haram.
- Sekiranya mereka melaburkan sebahagian besar duit tersebut dalam syarikat / saham yang tidak patuh Shariah, sudah tentu ia juga haram.
- Sekiranya mereka melaburkan sebahagian besar duit tersebut dalam bon-bon yang tidak patuh Shariah, sudah tentu ia juga haram.
- Sekiranya mereka hanya simpan bawah bantal, mekanisma untuk menguruskan duit masuk (premium) dan duit keluar (payout) akan mirip kepada pengurusan casino house. Itu juga haram. (Mana ada syarikat insurans nak rugi!)
2. Kontrak, hubungan antara syarikat insurans dan pelanggan tidak berapa jelas.
- Kalau kontrak jual beli, apa yang dijual dan apa yang dibeli ? Sudah tentu ia mesti mengikut semua rukun jual beli yang ditetapkan dalam Islam.
- Kalau kontrak servis, perkhidmatan apa yang ditawarkan ? Juga mesti mengikut semua rukun kontrak kafalah/jaminan (misalnya) yang telah ditetapkan.
Iyelah, nak sah solat pun kita kena menyempurnakan semua rukun yang ada. Solat itu tidak sah kalau kita meninggalkan walaupun satu rukun.
Maka sekiranya dua perkara besar ini boleh disahkan patuh Shariah, maka insurans yang ditawarkan itu adalah insurans yang halal.
3. Jadi, untuk memudahkan kefahaman orang awam membuat perbezaan tanpa memeningkan kepala, maka syarikat insurans yang tidak mengendalikan operasi mereka mengikut prinsip Shariah dikekalkan dengan penggunaan nama insurans, dan syarikat insurans yang mengendalikan operasi mereka mengikut prinsip Shariah, diberi nama syarikat Takaful.
4. Kalau tuan puan ada yang tidak berpuas hati dengan persoalan yang saya utarakan ini terpulanglah. Tuan puan boleh periksa satu-satu dokumen produk dan operasi syarikat insurans tersebut.Kemudian hantar kepada mana-mana penasihat Shariah yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia untuk diluluskan sebagai produk yang halal.
Saya fikir, penasihat Shariah yang ada dalam industri insurans / takaful ini sudah membuat kerja mereka untuk menyemak semua dokumen dan perjalanan syarikat takaful. Malah, syarikat insurans boleh sahaja menubuhkan syarikat takaful mereka dengan kebenaran dari kerajaan.
Share
17 Comments »
Tags: apa itu insurans, apa itu takaful, insurans halal haram, insurans konvensional haram, takaful
Posted: December 21st, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 28 Comments »
Umumnya, masyarakat Islam memberikan harapan yang tinggi untuk perbankan dan kewangan Islam. Tetapi apabila kesan ekonominya sama seperti perbankan dan kewangan riba’ maka ramai mula komplen. Tetapi bukan itu sahaja, ada faktor lain yang menyebabkan sebahagian pengguna tidak berpuas hati.
Ia dinamakan pertembungan antara market norm vs social norm.
Donald Trump cakap, “It’s nothing personal. It’s just business.”
Dan ramai orang bisnes yang berjaya yang saya jumpa, mereka memulakan bisnes mereka diluar lingkup kekeluargaan dan kawan rapat. Iaitu pelanggan mereka bermula dengan orang luar.
Market norm vs social norm
Untuk memahami apa itu market norm dan social norm, bayangkan suasana hari raya.
Ibu anda menyediakan pelbagai juadah yang istimewa untuk sambutan raya. Adalah satu kesalahan besar sekiranya anda bertanya kepada ibu anda, “Bonda, berapakah harga semua lauk pauk yang bonda sediakan ini? Saya bayar.” (market norm)
Tetapi adalah tidak mengapa sekiranya anda bertanya kepada ibu anda,”Bonda, nanti raya ni saya sponsor air kordial.” (social norm). Walaupun air kordial yang anda belikan itu murah harganya dan boleh didapati di kedai runcit belakang rumah sahaja, itu bukan persoalan. Harga tidak menjadi isu malah tindakan anda menaja air kordial itu amatlah besar nilai sosialnya.
Kenapa ibu anda akan rasa terhina sekiranya anda sukarela membayar RM 500 misalnya untuk juadah hari raya, berbanding sekiranya anda cuma mengeluarkan RM 5 untuk menaja air kordial ?
Tetapi suasana adalah amat berbeza sekiranya anda telah memberitahu awal-awal untuk mendapatkan khidmat katering ibu anda untuk tujuan tertentu. Barangkali anda ada rumah terbuka untuk kenalan kerja dan anda memohon khidmat ibu anda menyediakan juadah makanan berserta upah. Dan kali ini ibu anda akan rasa seperti orang gaji pula apabila anda cuma mengeluarkan RM 5!
Promosi menggunakan social norm tetapi servis menggunakan market norm
Itulah yang berlaku. Jurujual produk kewangan Islam banyak menggunakan religious, social norm seperti lagak seorang pendakwah. Tetapi malangnya social norm itu terhenti hanya disitu sahaja. Selebihnya pelanggan dilayan dengan pendekatan market norm.
Contohnya, anda menjadi pelanggan kerana pendekatan social norm yang digunakan. Anda diberitahu ia halal. Selamat di akhirat dan lain-lain. Tetapi apabila anda masuk ke premis, anda melihat ada pekerja tidak menutup aurat malah seksi pula. Marahnya pelanggan bukan kepada produk yang halal itu tadi, tetapi lebih kepada rasa kecewa kerana institusi kewangan bersikap selektif dalam mengamalkan social norm.
“Oh, dengan aku sibuk halal haram, kawan sendiri tak tutup aurat ape cerita ?”
Contoh lain, anda menjadi pelanggan kerana pendekatan social norm. Anda diberitahu perlu bersama memerangi riba’. Makan riba’ itu dosa besar dan seterusnya. Tetapi bila anda bermasalah dalam menyelesaikan pembiayaan, pendekatan market norm digunakan untuk “memaksa” anda. Anda didenda (ta’widh). Dan sehingga tindakan undang-undang diambil sehingga bisnes / pekerjaan anda sedang betul-betul menghadapi masalah menyebabkan anda tidak mampu menyelesaikan pembiayaan mengikut jadual.
Contoh seterusnya, anda tertarik untuk menjadi pelanggan kerana pendekatan social norm. Anda diberitahu besarnya pahala menyokong industri halal dan seterusnya. Tetapi permohonan anda untuk mendapatkan pembiayaan halal misalnya, ditolak kerana anda bekerja di syarikat yang kecil, atau anda cuma seorang peniaga kecil-kecilan atau sektor pekerjaan anda tidak termasuk dalam niche market yang ditentukan, justeru anda termasuk dalam kalangan pelanggan berisiko.
Tidak boleh bercampur
Social norm tidak boleh bercampur dengan market norm.
Jadi, kalau pendekatannya adalah social norm, maka sampai bila-bila perlu patuh kepada social norm. Jangan buat separuh-separuh.
Kalau mana-mana bisnes melanggar peraturan ini, pelanggan akan bising.
Malangnya, industri perbankan dan kewangan mencampurkan keduanya sekali. Untuk memudahkan urusan pemasaran dan untuk menyuntik sentimen, pendekatan social norm digunakan, tetapi yang lain-lain pendekatan market norm diguna pakai.
Sebab itulah, walaupun riba’ itu boleh melambung tinggi (compounding interest) tetapi pelanggan boleh menerimanya kerana bank riba hanya menggunakan market norm. Bank riba’ tidak pernah menyatakan mereka adalah perbankan yang bermoral. Bank riba’ tidak pernah menyatakan mereka adalah bank keadilan. Mereka dengan jelas menyatakan pinjaman ini adalah pinjaman riba’ yakni bersamaan dengan pinjaman yang penuh kezaliman.
Semua pengamal perbankan Islam perlu maklum, pengguna juga semakin bijak. Maka, pendekatan yang “meniru” perlu ditinggalkan secepat mungkin dan sesuatu yang lebih segar diperlukan dalam pasaran sesuai dengan pendekatan social norm yang diamalkan.
Share
28 Comments »
Tags: market norm, perbankan Islam, social norm
Posted: October 31st, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 3 Comments »
Post ini adalah huraian lanjut tentang post yang bertajuk Apa Itu Riba (3) ?
Bersandarkan firman Allah swt :
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. … ” (al-Baqarah : 275)
Ketika ayat ini diturunkan, masyarakat Arab berniaga dengan 2 cara berikut:
- Jual beli tunai
- Jual beli tangguh
Read the rest of this entry »
Share
3 Comments »
Tags: bank islam, bank timur tengah, bba, mudharabah, musharakah, musyarakah, riba
Recent Comments