Apa Yang Anda Boleh Buat Kalau Tidak Puas Hati Dengan Perbankan Islam ?

Posted: January 27th, 2010 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 8 Comments »

Selaku pelanggan dan bakal pelanggan, anda berhak mendapat yang terbaik dan menyuarakan komplen. Walaupun produk perbankan Islam sudah disahkan patuh Shariah oleh Majlis Pengawasan Shariah, tetapi dari sudut operasi, masih boleh berlaku perkara salah patuh Shariah. Maka bila hal tersebut berlaku, anda mesti bertindak dan menggunakan kuasa dan hak sebagai pelanggan.

Cumanya anda mesti tahu apakah yang anda komplen itu valid dan mempunyai asas Shariah.

Kalau anda mahu komplen ‘mahal’, maka itu antara komplen yang tidak valid. Sebab Islam tidak pernah menghalang peniaga dari mengambil keuntungan seberapa banyak yang dia rasakan dia mahu ambil.

Tetapi komplen seperti, “Apakah barang yang bank jual? Pegawai bank tak bagitahu pun…” Maka, itu adalah komplen yang valid sebab dalam Islam kita mesti tahu barang yang dijual dan dibeli.

Malah, sekiranya perbankan Islam menawarkan pembiayaan berasaskan jual beli (bai’) dan sewa (ijarah) itu pun mempunyai perbezaan yang besar. Apabila berlaku jual beli, maka hak milik bertukar, risiko bertukar dan hutang tercipta. Tetapi sekiranya hanya sewa, maka hak milik tidak bertukar, risiko tidak bertukar dan hutang tidak terus tercipta melainkan apabila kita lambat bayar sewa dari tarikh yang ditetapkan.

Maka, operasi produk jual beli dan produk sewa sepatutnya ada perbezaan yang ketara. Kita sebagai pengguna mesti tahu perbezaan asas sebegini, supaya kita tahu hak dan tanggungjawab kita tertulis seperti yang sepatutnya dalam perjanjian yang bakal kita tandatangan.

Pada saya, perbankan Islam sudah tidak patut lagi menumpukan kepada produk yang patuh Shariah sahaja, tetapi dari sudut operasi juga mesti patuh Shariah. Tidak boleh tidak. Mesti ikut prosedur Shariah yang ditetapkan.

Jadi, pegawai yang terlibat dalam marketing misalnya, tidak boleh lagi sebut “interest… interest… interest” semasa bercakap dengan pelanggan. Kalau kita minta pembiayaan secara Islam, mereka tidak boleh sesuka hati bagi kita produk riba dengan alasan, “Dua-dua sama aje. Kita tukar label aje.”

Maka sekiranya anda tidak puas hati dengan perjalanan perbankan Islam, maka saya cadangkan begini:

Langkah 1

Mintak penjelasan yang lebih dari pegawai tersebut. Tetapi jika dia masih dengan sikap acuh tak acuh dengan isu Shariah …

Langkah 2

Jumpa bos kepada pegawai tersebut. Mintak penjelasan dari bos dia pula. Tetapi kalau bos dia pun 2×5 ….

Langkah 3

Sila hubungi Jabatan Shariah untuk penjelasan. Kalau kes kompleks, mereka boleh minta Penasihat Shariah bank mereka jawab. Kalau Jabatan Shariah pun macam tak tau apa-apa …

Langkah 4

Hubungi Bank Negara Malaysia (BNM), bahagian aduan pengguna. Cakaplah apa masalah Shariah yang berlaku. Bahagian tu patut salurkan kepada bahagian yang patut. Kalau BNM pun blurr…

Langkah 5

Bawa court ajelah. Majlis Pengawasan Shariah BNM sudah ada power yang sama dengan Mahkamah Tinggi Malaya.

Jangan Takut Membuat Laporan ke Pihak Yang Betul

Sepatutnya, langkah 3 iaitu dengan membuat laporan kepada Jabatan Shariah sudah mencukupi. Semua produk perbankan Islam telah mendapatkan kelulusan Majlis Pengawasan Shariah mengikut institusi masing-masing. Pegawai Shariah dalam bank sepatutnya tahu perjalanan produk yang bank mereka tawarkan. Kalau pegawai Shariah pun tidak boleh menerangkan proses Bai’ Inah, ijarah contohnya, maka bank itu sudah dalam masalah besar.

Kepada anda yang menyokong industri ini, bantulah dengan cara yang membina. Zaman “yang penting struktur produk mesti halal” sudah berlalu sebab ada pegawai dalam perbankan Islam yang take for granted dalam hal sebegini.  Selain struktur produk mesti halal, cara proses dan cara operasi produk juga mesti halal sepenuhnya. Pelanggan, dengan cara yang betul, boleh menyedarkan banyak pihak agar proses dari A-Z adalah betul-betul halal.

Sekian dimaklumkan.

p.s. Kalau produk yang anda tidak puas hati itu dari Bank ABC, anda kenalah jumpa pegawai Shariah Bank ABC, jangan pula bertanya kepada pegawai Shariah Bank 123.

Share
8 Comments »

Tags:

8 Comments on “Apa Yang Anda Boleh Buat Kalau Tidak Puas Hati Dengan Perbankan Islam ?”

  1. 1 treec00l said at 10:54 am on January 28th, 2010:

    pakdi,

    artikel yg sgt penting.

    mintak kebenaran untuk letak dlm blog saya dgn backlink ke sini.

    tq pakdi.

    Pakdi: Ok.

  2. 2 Afyan said at 3:06 pm on January 28th, 2010:

    Salam kembali,

    Biasa berlaku begitu, terutama pegawai pada bahagian jualan atau pemasaran.

    Mereka akan cadangkan proposal daripada islamik dan konvensional, dan mengatakan “sama sahaja kedua-duanya”.

    Selalunya ia terjadi pada bank-bank konvensional yang mempunyai anak syarikat bank Islam daripada parent company yang sama.

    Itulah yang menjadi masalah. Justeru, pihak pengurusan bank yang berkenaan hendaklah melatih pegawai-pegawainya tentang muamalah Islam yang sewajarnya agar ia tidak menjadi fitnah kemudian hari.

    Antara bank yang melakukan perkara ini ialah Bank Ar-Rajhi. Pegawai-pegawai bank di bahagian pemasaran dan jualan akan diberikan latihan selama sebulan (kalau tidak silap) untuk diajar tentang muamalat Islam.

    Isu yang diutarakan Sdra Pakdi amat releven kerana ia menjadi persepsi dan fitnah yang menganggap produk konvensional dan Islamik adalah sama.

    Wassalam.

  3. 3 Kimi said at 5:04 pm on January 29th, 2010:

    Ya, satu lagi, dah banyak orang yang ada mentaliti bahawa antara Islamik dan Konvensional “sama saja kedua-duanya cuma terminology je berbeza”, yang saya tak boleh terima. Mereka mengatakan begini sebab ie. bila tengok jumlah loan yang perlu dibayar adalah lebih tinggi daripada jumlah untuk konvensional yang bagi mereka “sama saja dua-dua cekik darah”. Rasanya banyak lagi yang perlu disebarkan kepada umum tentang kepentingan perbankan islamik kepada umat Islam.

  4. 4 Amin007 said at 8:01 pm on January 30th, 2010:

    kalau pegawai tu kawan kita semasa kecil, boleh juga bawa berbincang tentang konsep perbankan islam dari sudut operasi. cuma ada kalanya kita perlu baca dokumen berkaitan tentang perbankan islam. tapi kebanyakan dokumen dalam bahasa inggeris, tu yang susah nak faham.

    ikutkan kawan-kawan kat opis pun ramai juga yang langgan produk bukan perbankan islam. nak bagi nasihat pun bukan ada kelayakan pun hehehe. sepatutnya pegawai yang menjual produk tu lebih tahu muamalat islam lebih banyak dari orang kebanyakan macam saya.

  5. 5 masmerah said at 12:15 am on January 31st, 2010:

    Salam Pakdi
    Saya ada beberapa kekeliruan yg berlegar dalam kepala saya selama ini mengenai perbankan dan sistem yang dikatakan islamik.
    1Mengapa perbankan Islam lebih mahal daripada perbankan biasa? Adakah bila nama Islam maka mesti lebih mahal daripada orang lain? Saya beberapa kali membaca rungutan pemiutang bank islam mengenai hal itu dalam surat khabar, terutama dalam pembelian rumah. Kawan saya pula pernah membuat kiraan,untuk membeli rumah dengan pinjaman kerajaan, sistem islam terlebih mahal sebanyak rm50 sebulan. Kiraannya berdasarkan pokok pinjaman rm 120 000.
    Maka darablah dengan 25 tahun.

    2Bila sebut pasal riba atau tidak riba maka pertimbangan saya ialah penindasan. Apa itu penindasan? Penindasan dimaksudkan ialah bila peminjam dikenakan bayaran lebih bila bayaran balik dibuat. Maka logik saya kalau sistem islam mengenakan caj yg lebih daripada sistem biasa, itu lebih menindas namanya. Bacalah ayat mana, hadis mana sekalipun, lebihan rm6000 lebih menindas daripada lebihan rm5ooo. Biar apa nama sekalipun dipakai, namun Allah tahu ke mana akhir perginya. Saya tidak nampak kita membuat sebarang pembaharuan. Kita tukar nama dan pakai nama baru yg kearaban adalah.

    3Kalau di kedai pajak gadai biasa penggadai dikenakan INTEREST atas apa yg dipinjam dengan cagaran dikenakan ke atas penggadai. Dalam sistem kononnya Islam, peminjam dikenakan UPAH SIMPAN atas barangan yang digadaikan. Keduanya-duanya melibatkan lebihan, satu haram dan satu lagi halal . Itukah kehendak Islam?

    4Saya pernah bertanya kepada bekas pensyarah UITM, pensyarah kewangan Islam di UITM dulu, tentang kenapa bank Islam mengenakan caj lebih daripada bank biasa. Jawapannya begini, “Bukan itu yg saya beritahu kepada xxx orang besar di Bank Islam loni, masa saya mengajar dia dulu” . Saya makin keliru.

    5Dr Halim bekas ceo BIMB lulusan oxford bila ditanya kenapa perbankan Islam mahal? Jawapannya mudah saja, “Ayam sembelih tentu lebih mahal daripada ayam tak sembelih”. Jawapan itu tak memadai bagi saya.

    6Saya lebih suka katakan begini, sistem ini tidak islamik tetapi berlabelkan Islam.

    7Harap dapat penjelasan Pakdi

  6. 6 pakdi said at 7:50 pm on February 2nd, 2010:

    Tuan MasMerah,

    1. Saya juga keliru. Saya tidak berapa faham soalan no 1. Apa yang dibandingkan dengan apa? Kemudahan kerajaan vs kemudahan perbankan Islam ? Atau kemudahan perbankan konvensional vs kemudahan perbankan Islam? Atau bagaimana …

    2. Memandangkan pada point 6, sebelum saya terangkan pun Tuan seolah-olah sudah pun ada pendirian. Adakah penjelasan saya kelak boleh Tuan terima dengan hati yang terbuka?

    3. Semoga Tuan ada membaca beberapa tajuk berkaitan dalam kategori Muamalat yang telah saya tulis, sebab sudah ada sedikit sebanyak penjelasan. Hutang yang dicipta dari riba vs hutang yang dicipta dari jual beli. Ia adalah benda yang sama (hutang) tetapi tidak serupa (satu berasal dari riba, satu berasal dari jual beli)

    Moga Tuan dapat membantu saya faham soalan-soalan tuan sebelum saya respons.

  7. 7 LyeNa said at 11:19 am on February 19th, 2010:

    “Sebab Islam tidak pernah menghalang peniaga dari mengambil keuntungan seberapa banyak yang dia rasakan dia mahu ambil”.

    salam, maaf saya nak bertanya. Betul ke Islam tidak menghalang seberapa banyak keuntungan yang kita nak ambil?

    Kalau tak silap saya, kita tidak boleh mengambil keuntungan lebih dari separuh harga asal benda itu.

    Contohnya harga asal barang x adalah rm100. Kita tak boleh jual rm200.

    maafkan saya jika salah.

    Pakdi: Pendapat cik puan tidak betul.

  8. 8 musykilman said at 2:30 pm on March 9th, 2010:

    Salam sahabat,
    just nk mnta yr expert opinion iaitu klau kita ada ada 2 Islamic facility i.e. personal financing (PF) & credit card (CC) mana yg patut disettle dulu (kbetulan ada pitis yg hanya bole byr salah satu aje)? yg jd musykil sbb klau xsettle PF instalment dia bln2 tinggi tp legalh kalau dh abis byr. xsettle CC mothly profit charge plak tinggi tp instalment dia flexy/ rendah skit. tq…


Leave a Reply