Apa Itu Riba (4) ?
Posted: October 31st, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Muamalat | 3 Comments »Post ini adalah huraian lanjut tentang post yang bertajuk Apa Itu Riba (3) ?
Bersandarkan firman Allah swt :
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. … ” (al-Baqarah : 275)
Ketika ayat ini diturunkan, masyarakat Arab berniaga dengan 2 cara berikut:
- Jual beli tunai
- Jual beli tangguh
Pada masa yang sama mereka mengamalkan riba. Seperti, disebabkan anda tidak mampu bayar hutang tepat pada masanya, pemberi hutang akan mengenakan bayaran tambahan. Inilah amalan biasa masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka membenarkan jual beli tangguh dibuat, tetapi kalau penghutang lambat bayar kembali, mereka akan mengenakan riba.
Jadi, harga sebenarnya berapa ? RM 50? RM 51 ? RM 52 ? RM 100 ?
Dan seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, jual beli bertangguh adalah dibenarkan. Perbezaan kontrak pembelian tangguh dan kontrak riba adalah:
- Dalam jual beli tangguh, harga dan keuntungan akan ditetapkan dari awal.
- Dalam riba pula, harga dan keuntungan sentiasa floating dan tidak diketahui berapakah sebenarnya harga jualan sebenar.
Maka, Ibn Arabi dalam tafsirnya menyebut, Bani Thaqif keliru dengan pengharaman riba, dan berkata, “Bagaimana kami mahu melepaskan diri dari riba? Bukankah riba dan jual beli itu sama sahaja?”
Maklumlah, kalau beli tunai bayar RM 50, tetapi kalau jual beli tangguh, harga boleh dinaikkan jadi RM 60. Apa baiknya? Dah halal pun mahal juga, sedangkan riba yang dikenakan lagi murah.
Hal ini lah yang ramai keliru, kerana dari sudut ekonominya “harga” ia tetap tidak menjadi lebih murah walaupun tidak berlaku riba dalam jual beli tangguh sebegini.
Saya tidak menafikan kefahaman ini muncul akibat retorik politik dan kefahaman ekonomi pihak tertentu dalam dunia Islam ini yang menyatakan, “Sekiranya Islam memerintah, barang pasti akan murah.” Seterusnya menafikan asas ekonomi semulajadi yang harga sentiasa akan kembali supply dan demand. (Sila rujuk artikel-artikel berkaitan free market)
Saya juga tidak menafikan salah faham yang berlaku kerana operasi perbankan Islam pun banyak meniru sahaja apa yang ada dalam perbankan konvensional. Bank ABC guna BLR, Bank ABC Islamic pun nak gunakan benchmark yang sama untuk tujuan marketing produk mereka – BFR – x% contohnya.
Sedangkan dalam bisnes, kalau kita meniru orang, itu maksudnya kita bukan market leader. Market leader dictate the innovation and others follow. Macam Dell Inc. yang menjadi pengeluar notebook pertama di dunia yang mengeluarkan notebook yang berwarna-warni, memecahkan tradisi pemikiran, bila sebut notebook sahaja mesti warna hitam, sedangkan notebook sekarang anak remaja pun dah menggunakannya dan bukan lagi orang bisnes sahaja pakai notebook!
Saya juga tidak menafikan dari sudut operasi juga, perbankan Islam tidak cermat dalam melaksanakan garis panduan Shariah yang telah ditetapkan. Macam mana boleh pengguna tandatangan dokumen “beli” dahulu sedangkan bank belum “jual” lagi ?
Saya juga tidak menafikan, orang bisnes (seperti pengeluar kereta, pemaju) malah dari pihak regulatory pun belum faham sepenuhnya bagaimana perbankan Islam seharusnya beroperasi. Maka dalam hal ini, kita harus faham perbankan Islam masih muda. Tahun-tahun awal 1983, matlamat utamanya adalah menubuhkan satu institusi perbankan Islam. Seterusnya menanam kesedaran di kalangan orang awam, dan kini orang-orang bisnes pun patut mula faham.
Alhamdulillah, di Malaysia kelihatan telah ada 1,2 pemaju rumah yang terkenal yang bersedia membangunkan model Musharakah / Mudharabah bersama pihak perbankan Islam.
Jadi, saya harap kalian boleh memahami dengan lebih baik sedikit kenapa dalam Islam, harga jual beli tangguh dengan tawaran harga tinggi lebih dibenarkan dalam Islam berbanding harga tunai. Sama tetapi tidak serupa.
Lagipun, harga mahal yang berlaku pun tidak seperti dahulu apabila tempoh monopoli Bank Islam dalam industri perbankan Islam sudah lama tamat.
Isu-isu yang berkaitan kritikan dari Timur Tengah terhadap perbankan Islam tempatan itu pula akan saya jawab dalam post yang akan datang.
Share3 Comments »
Tags: bank islam, bank timur tengah, bba, mudharabah, musharakah, musyarakah, riba
Kupasan yang bagus, Pakdi. Semalam baru dibincangkan di dalam kelas tentang BBA dan komplikasi yang berlaku bila pelanggan ingin melangsaikan hutang awal-awal.
Sama-samalah kita jauhi daripada riba….
Belian secara tertangguh adalah diharuskan, tetapi bagaimana pula keadaan ia seolah-olah dijadikan sebagai berkonsepkan keuntungan? Kalau diikutkan kepada prosidur tertangguh, ada kewajarannya, tetapi bagaimana pula apabila ia memberi keuntungan yang berlipat ganda malah melebihi dari sistem konventional sendiri? Sedangkan konsep jual beli dalam islam adalah saling bantu membantu, dan terutamanya dlm bab pinjaman adalah riba jika pemberi pinjam mengaut keuntungan dari pinjaman yang diberi? Apakah ia hanya untuk menghalalkan cara?
Rujukan lanjut di http://www.zaharuddin.net/content/view/301/93/